Wirdora Wira Studs for Kids

Wasiat Luqman Buat Wirdora Kids Kesayangan

Aku sedang menyiapkan pakaian anak-anak untuk Hari Raya Aidil Adha. Semoga penularan COVID-19 semakin dapat dikawal dan tiada halangan untuk pulang ke kampung Hari Raya Aidil Adha ini. Almaklumlah, Hari Raya Aidil Fitri yang lalu PKP sedang berkuatkuasa maka terpaksalah beraya di perantauan. Kali ini, aku bersiap sedia awal memasukkan barang-barang ke dalam beg kerana terasa sungguh lama tidak pulang ke kampung. Aku memilih perhiasan hijab Wirdora untuk dipakai pada Hari Raya. Sambil membelek-belek satu per satu koleksiku, aku teringatkan anak-anakku yang akan memulakan persekolahan tidak lama lagi. Aku sempat membeli pelitup muka kanak-kanak dari Wirdora x Innersejuk untuk anak-anakku. Ketika aku ingin membuat pesanan tambahan, sudah habis terjual! Maka terpaksalah aku menunggu sedikit untuk pelitup muka tambahan untuk anak-anakku. Sementara sedang teringat, aku memasukkan kotak Stud Wira Kids untuk anak-anak lelakiku. Sememangnya butang baju Melayu ini tahan lama dan sudah bertahun mereka gunakan. Bagi anak sulungku yang tidak lama lagi akan menjangkau 12 tahun, mungkin tahun ini adalah yang terakhir dia menggunakan baju Melayu saiz kanak-kanak. Tiba-tiba teringatkan nostalgia si Along berbaju Melayu semasa hari Raya buat pertama kali. Tidak henti-henti aku merakamkan momen itu dengan telefon bimbitku. Kini dia kerap berbaju Melayu untuk bersolat. Dia suka berbaju bersih dan cantik untuk solat. Alhamdulillah, sudah mula solat tanpa perlu diberi peringatan. Cuma aku perlu bersabar sikit dengan tambahan pakaian yang perlu dicuci apabila si Along mahu bercantik-cantik pakaiannya untuk solat. Kalau ikutkan hati, aku katakan saja yang aurat lelaki hanya dari pusat ke lutut. Tetapi dalam Islam, itu bukanlah cara yang terbaik untuk mendidik anak. Maka aku turutkan sahaja kehendaknya dalam melaksanakan Rukun Islam kedua. Wirdora Wira Studs Kids vs Men Tambahan pula dalam keadaannya yang makin meningkat dewasa, aku pun tidak pasti bila lagi dapat aku layankan kerenahnya. Teringat pula semasa Along masih kecil dia memberitahu aku tentang perkara yang dipelajarinya di tadika. Ketika itu aku tergamam dengan kualiti pembelajaran anak-anak sekecil 6 tahun berbanding diriku yang banyak mengejar kebahagiaan duniawi ketika itu. Along masih pelat ketika dia menceritakan kepada aku akan enam wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya, yang diceritakan melalui mukjizat terbesar Rasullulah SAW, iaitu Al-Quran dalam Surah Luqman ayat 13-19. Bayangkan sahaja anak kecil itu mengatakan yang menyekutukan Allah adalah seperti menganiaya diri sendiri. Walaupun bunyinya mudah, berhari juga ayat itu terngiang-ngiang dalam kepalaku. Paling jelas sekali aku menyekutukan Allah apabila melewatkan waktu solat untuk menyiapkan kerja pejabat; aku sebenarnya sedang menganiaya diri sendiri. Aku cipta neraka dalam benak diriku yang menjadikan aku tidak tenang kerana menangguhkan solat. Walaupun ketenangan yang aku mahukan boleh tercapai dengan semudah-mudah menyempurnakan solat dahulu, aku menganiaya diri sendiri dengan melewatkan solatku. Mungkin perkara itu tidaklah seberat menyekutukan Allah secara harafiah, tapi hakikatnya aku memilih untuk menyempurnakan keperluan dunia sebelum menyahut tuntutan agamaku. Belum lagi apabila aku terdengar si Along menasihatkan si Angah yang berumur dua tahun ketika itu untuk kurangkan menangis kerana kasihan aku. Aku ketika itu sedang berpantang selepas melahirkan puteri sulung kami. Si Along menceritakan kepada si Angah yang surah Luqman menyuruh umat Islam untuk taat kepada ibubapa. Memang geli hati aku mengenangnya. Si Angah belum boleh berkata-kata lagi, cuma mengangguk untuk menggembirakan abangnya. Jika sekarang, memang seperti petir dan guruh jika mereka bergaduh. Memang jarang si Angah mengalah kepada Along. Paling aku terkesan sekali dengan pengajaran surah Luqman yang diterap kepada anak-anak sejak kecil ialah amalan solat mereka. Sejak kecil lagi mereka suka mengikutku solat, dan apabila makin besar mereka bersolat setelah kedengaran azan. Aku memang bersyukur pendidikan awal yang aku mampu sediakan untuk mereka menerap nilai-nilai keperibadian yang tinggi sebagai seorang Muslim. Si Along selalu mengingatkan Angah dan Adik yang solat semata-mata tanpa berbuat baik dan mencegah mungkar, belum benar-benar dapat menjaga diri kita. Terdengarkan kata-kata sebegini dari anak-anak kecil yang belum mengenal dunia, memang membuat aku terkedu dan terasa kerdil. Mendengarkan anak-anakku menyebut tentang wasiat Luqman ini, memang aku tercari-cari juga terjemahan dan tafsir ayat dari al-Quran ini. Selain yang aku teringat melalui memori-memori si Along dan Angah ketika kecil, wasiat Luqman juga menganjurkan anaknya agar bersabar melalui apa sahaja musibah yang menimpa. Kerana ketahuilah yang Allah SWT Maha Mengetahui segala yang kita kerjakan. Jika sabar itu dikatakan sebagai separuh dari iman, yang separuhnya lagi ialah syukur. Sifat sentiasa mensyukuri dengan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT suatu amalan yang halus yang memerlukan kita mendidik hati kita sendiri secara istiqamah. Terlalulah mudah untuk kita berasa hina atau berbangga apabila menatal media sosial yang hanya menunjukkan sebahagian kecil sahaja dari kehidupan sebenar seseorang. Aku tidak menafikan yang kadang-kadang terganggu juga melihat kejayaan rakan-rakan yang tampak datang dengan mudah, selain merasa ujub melihatkan ‘Likes’ dan ‘Love’ yang aku perolehi. Aku beristighfar. Mungkin aku perlu membuka semula Tafsir Al-Quran dan menghayati wasiat Luqman kepada anaknya. Wirdora Azalea Antique Pink Aku memasukkan set kerongsang Azalea untuk dipakai sebagai dokoh dengan kebaya labuhku dan mengezip beg pakaian kami sekeluarga. Aku nekad mahu mengutarakan fasal wasiat Luqman kepada anak-anakku semasa makan malam nanti. Aku berharap sedikit sebanyak anak-anak aku yang sudah semakin membesar ini boleh teringat yang aku pernah menyebut tentang wasiat Luqman jika aku sudah tiada lagi.

Leave a comment